Kumpulan Entri-Entri Menarik





Daftar Pengikut Blog Ini!

Thursday, August 19, 2010

Erti Sebuah Kasih Sayang



TAK MESTI BACA!
Sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarakh ini aku ingin mengimbas kembali satu artikel yang aku tulis pada tahun 1999 di dalam laman sesawang peribadi aku untuk pedoman bersama.

Nama penuh: Siti Akbariah Binti Yusof (@ Molek)
Nama bapa: Yusof Bin Binu @ Haji Wahab
Nama ibu: Rasiah Binti Jatin
Carian Salasilah Keluarga:  http://www.salasilah.info



        Aku duduk tersepuk di tepi dinding berhampiran dengan tangga. Mataku memandang ke arah kolam ikan yang dibina oleh arwah datuk. Kolam ikan yang hanya berada di sebelah rumah kayu itu kelihatan tenang sahaja. Sebahagian daripada dapur rumah berada di atas kolam. Kata arwah datuk, biarlah senang anak cucu nak makan ikan. Buka lantai dapur, tabur umpan dan tangguk.
          Bunga teratai tetap berkembang. Ikan masih lagi berenang dan rakit tempat aku selalu bermain masih tertambat di tepi pelantar. Mahu rasanya aku menanggalkan semua pakaianku ketika itu dan terjun ke dalam kolam tersebut seperti yang sering aku lakukan setiap petang. Bogel dan bebas. Bagaikan anak yang baru lahir.

Tetapi petang ini aku terpaksa mengalah. Terlalu ramai orang di beranda rumah kayu di tepi sawah ini. Jiran-jiran masih lagi datang berkunjung. Yang pulang tetap pulang dan yang datang tetap datang.

        Aku memandang pula ke arah halaman rumah.
 
        Beberapa orang gadis remaja kelihatan menongkatkan basikal mereka di situ. Mereka melangkah ke arah tangga dan memandang ke arahku. Sambil memberikan senyuman, mereka mengambil air dari tempayan yang sememangnya tersedia di tepi tangga dan membasuh kaki yang terpalit lumpur halaman yang becak selepas hujan. Kemudian mereka menaiki rumah itu dan terus ke dalam.

        Kadangkala aku merasa hairan juga. Wajah-wajah itu bukanlah asing bagiku tetapi aku tidak pernah tahu nama-nama mereka. Anih bukan?

        Tidak sampai beberapa saat aku terdengar bunyi tangisan dari salah seorang gadis yang baru melewatiku tadi. Aku memasang telinga.

        "Maafkan aku, Molek!" Gadis itu merayu dalam tangisannya.

        Aku menoleh.

        Tak apa. Bukan salah kau. Memang sudah takdir aku begini. Sebenarnya luka ini dah lama. Hanya menanti masa sahaja." Kedengaran suara Kakak Molek yang tetap segar walaupun perlahan. Bibirnya yang semakin pucat itu mengukirkan senyuman. Tetap manis.

        "Tetapi...... kalau bukan kerana aku yang memukul kau, penyakit ini tak mungkin kau hidapi, Molek." Suara gadis itu tersekat-sekat.

        "Sudahlah. Jangan dikesalkan lagi. Kalau bukan terkena pukulan kau, mungkin ianya akan berlaku juga kalau aku terhantuk kepada barang-barang yang keras." Dia terus memujuk temannya itu.


        Mungkin inilah teman yang dikatakan secara tidak sengaja memukul pehanya dengan pukulan karate. Aku berbisik di dalam hati.

        Aku terkenangkan semula pada cerita abah. Kaki Kakak Molek terhempap kayu dari pohon yang ditebangnya. Selepas beberapa hari dari kejadian itu dan selepas diubati secara traditional, Kakak Molek boleh berjalan seperti biasa. Tidak ada tanda-tanda tulang patah. Kesan lebam di peha kananinya juga beransur hilang.
 
        Setelah beberapa bulan, kecederaan yang tersembunyi menjadi parah. Pukulan karate yang dilakukan secara gurauan hanya menjadi pemberitahu betapa kecederaan itu telah merebak. Peha kanannya bengkak semula. Setelah diperiksa, rupanya telah terjadi ketumbuhan di tempat tersebut. Doktor mengesahkan bahawa beliau menghidapi kaser tulang.

        Betapa hancur luluhnya hati abah. Dengan kelengkapan dan pengetahuan yang terhad ketika itu, abah diberikan pilihan yang begitu sukar. Akhirnya abah berserah kepada takdir daripada membiarkan kaki Kakak Molek dipotong sehingga ke pangkal peha. Abah lebih rela kehilangan anak kesayangannya daripada membiarkan hidup kakak menderita sebagai seorang yang cacat. Seorang gadis jelita berkaki sebelah. Abah tidak sanggup melihat Kakak Molek kecewa apabila melihat teman-temannya yang lain hidup bahagia sedangkan dia terpaksa mengheret kakinya dari satu tempat ke satu tempat dengan tongkat atau kerusi roda. Abah takut nanti selepas ketiadaan beliau, tiada siapa yang akan membela Kakak Molek dan membiarkannya terus terlantar.

        Dan Kakak Molek tidak membantah. Dia serahkan segala keputusan kepada abah. Baginya, kasihsayang yang dinikmati selama empatbelas tahun sudah lebih dari cukup daripada membiarkan abah menanggung bebanan memelihara beliau.


        Selama beberapa bulan kakak terpaksa berulang ke Hospital Besar Kuala Lumpur hanya untuk membiarkan daging pehanya dibakar oleh pancaran Sinaran X. Hanya itu sahaja rawatan yang tinggal untuknya. Bukan untuk memulihkan tetapi untuk mengurangkan kesakitan. Akhirnya daging itu masak dan tidak berfungsi lagi. Beliau terlantar di rumah pula. Rumah yang dibina oleh arwah datuk di Kampung Sungai Macang Ulu, Lenggeng, Negeri Sembilan. Sakit ketumbuhan yang dihidapinya terus merebak dan merosakkan usus-usus perutnya.
 
        "Adik........." Suaranya lemah memanggilku.

        "Saya, kak!" Suaranya mengejutkan aku dari lamunan. Aku bingkas bangun dan memandang ke arahnya.

    Teman-teman persekolahannya sudah lama pulang. Begitu juga dengan jiran-jiran. Hanya yang tinggal kini ialah saudara mara sahaja. Baru aku tersedar bahawa hari telah senja.

        Perlahan-lahan aku merapatinya dan duduk di sebelah. Bau busuk dari daging pehanya yang sudah reput itu menggigit hidungku. Daging yang sudah mati kerana sering dibakar oleh Sinaran X. Daging yang sudah tidak berfungsi lagi itu. Bau yang sering menemaniku setiap kali aku tidur berhampiran dengannya. Bau yang sudah tidak mampu untuk menghalang aku untuk menghampirinya.

        "Adik sayang Kak Molek tak?" Dia bertanya dengan suara yang tersekat-sekat sambil tangannya memegang tanganku.

        Aku sebak. "Sayang......" Aku menjawab dengan nada perlahan. Hanya itu sahaja yang mampu kuucapkan ketika itu. Melihat mutiara jernih bergenangan di matanya membuat aku sendiri tidak dapat menahan airmataku.

        "Kakak pun sayang adik. Kakak sayang adik sampai kakak mati, dik."


        Dadaku semakin sebak. Pipiku terasa panas. Mataku semakin kabur. Airmata yang pada mulanya hanya bergenangan di mata kini sudah mula mengalir di pipiku.

        "Kalau adik sayang orang, sayang sampai mati. Barulah sayang itu ada makna, dik. Kasih sayang yang sejati." Dia memberikan aku nasihat.

        Sungguh tidak kusangka bahawa perkataan sayang yang kuucapkan adalah perkataan yang terakhir yang kulafazkan untuk Kakak Molek. Keesokan harinya aku dikejutkan dengan berita kematiannya ketika aku masih berada di sekolah. Berita kematian yang terlalu lambat aku terima menyebabkan aku tidak dapat menemuinya buat kali terakhir. Jenazahnya telah dipindahkan ke Gombak tanpa menunggu kepulanganku. Aku kecewa ketika pulang dan hanya mampu melihat tempat tidurnya yang sudah kosong. Tempat tidur yang sering memberikan bau busuk tetapi masih tidak mampu menghalangku untuk tidur di sebelahnya hampir setiap malam.


        Setiap hari aku terkenangkan keayuan dan kelembutan wajahnya yang penuh dengan kasihsayang. Sering kuimbas kembali betapa dia begitu mengambil berat tentang diriku. Betapa dia sering mempertahankan aku setiap kali aku dimarahi kerana melakukan kesalahan. Betapa dia sering membawa aku ke mana sahaja malahan ketika bertemu dengan teman-temannya. Aku menjadi begitu rindu. Rindu pada kasihsayang dan perhatian yang diberikan. Rindu pada kehilangan yang pernah aku lupakan.
 
        Sejak aku mula mengenali cinta, aku terus mencari cinta yang suci dan sejati. Setiap kali gagal, aku akan menjerit di dalam hati, Kak Molek! Tak ada kak! Tak ada kasih sayang yang sejati dan memberikan makna! Semuanya bohong belaka. Semuanya hanya pentingkan diri mereka sahaja. Tolonglah, Kak Molek! Tolonglah IZAN, Kak Molek!

        Dan setelah tiga kali berturut-turut menghadapi kegagalan cinta aku menjadi bosan dan berputus asa. Rasa cinta telah mati di dalam hatiku semenjak 31hb Julai, 1978. Aku ditewaskan. Cinta dan cita-citaku telah musnah. Tidak ada lagi pencarian terhadap hidup yang lebih mencabar. Tiada lagi perjuangan untuk diriku. Aku hanya berjuang untuk insan lain.


        Aku hanya mengikut arus kehidupan dan berusaha untuk tidak terus tenggelam. Aku dipaksa menerima kenyataan itu. Tiada lagi rasa cinta dan semangat perjuangan di dalam hati ini. Hanya yang tinggal adalah rasa simpati, kasihan dan kemaafan sahaja. Aku tidak mahu dicemuh oleh roh Kakak Molek kerana membunuh semua perasaan yang pernah ditanamkan ke dalam hatiku. Satu pengajaran yang begitu bermakna daripada usiaku empat tahun sehingga aku berusia sepuloh tahun. 

        Dan semenjak daripada itu aku terlupa kepada Kakak Molek yang pernah ujud dalam kehidupanku. Seorang kakak tiri yang tidak pernah menganggapku seperti adik tiri. Seorang gadis yang mampu memberikan kemaafan kepada orang yang mempercepatkan kematiannya. Seorang insan yang mampu memberikan kasihsayang kepada aku dan dunia walaupun di saat-saat akhir. Seorang anak yang rela memberikan hak kepada seorang ayah untuk menentukan hidup dan matinya tanpa rasa kesal. Seorang gadis yang tidak pernah mahu mengaku kalah. Seorang gadis yang tidak pernah kalah.

        Entah mengapa pada 8hb Januari 1999, aku terkenang kembali kepada memori itu. Secara tidak sengaja aku telah menceritakan kepada salah seorang teman IRC. Dan airmataku mengalir mengenangkan betapa begitu lama aku melupakan kasihsayang yang pernah dibuktikannya kepadaku. Betapa begitu lama aku mengabaikannya.
 
        Kini, rumah kayu sudah usang. Sawah padi sudah menjadi padang lalang. Kolam ikan sudah kering dan dipenuhi dengan sampah sarap. Tiada lagi rakit yang tertambat di pengkalan. Tiada keindahan dan kedamaian di situ sejak kali terakhir aku ke sana. Enam tahun yang lalu. Namun, kenangan arwah Kak Molek tiba-tiba mengimbau hatiku. Kenangan yang tidak akan usang lagi.


        Kak Molek! Terimakasih kerana telah mengajar aku erti kasihsayang yang sebenar. Terimakasih kerana mampu membuktikan bahawa di dalam diriku ini masih mampu untuk merasakan cinta yang begitu tulus dan sejati. Sekiranya kakak masih hidup hingga kini Izan akan membela dan menjagamu. Izan akan dukung kakak ke mana sahaja yang Kakak mahu. Izan akan berikan sepenuh kasihsayang yang tidak pernah diberikan oleh orang lain terhadapmu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu dan menempatkan di kalangan ahli Syurga.

        Dan terimakasih kepada Sabrina yang membuat aku mengenang kembali suatu memori yang telah aku lupakan selama ini. Terimakasih juga kerana mencadangkan aku membina memorial ini. Dan mulai hari ini aku tidak akan lagi membiarkan arus menghanyutkan kehidupanku. Akan kutongkah arus dan kuempang badai. Akan kusongsong ribut dan kuredah taufan. Kini aku akan berjuang kembali. Perjuangan yang pernah kutinggalkan sebelum ini. Perjuangan yang belum selesai.
 
        Kepada mereka yang beragama Islam, bertafakurlah sebentar dan sedekahkanlah fatihah untuk seorang insan yang paling hebat pernah aku temui sepanjang hidup kanak-kanakku. Dan sekiranya ada di antara anda yang pernah mengenali beliau dan memiliki gambar-gambar beliau, sila kirimkan ke alamat email yang terdapat di lamanweb ini. Ceritakanlah serba sedikit pengalaman anda bersamanya. Semoga ianya akan menjadi pengajaran kepada kita semua.



Bersama salah seorang pesakit mata di Hospital Besar Kuala Lumpur untuk rawatan ulangan. Walaupun dengan kaki yang tidak teguh berdiri dan dengan rasa kesakitan beliau masih mampu menunjukan rasa prihatin dan kasih sayang. Di antara gambar yang ingin ditinggalkan untuk kenangan kami .
(Diambil pada 18/08/1968)

Klik Penaja Saya

Sokong Penaja Saya Di Bawah INI!
widgeo.net

Saje-saje

Blog Bukan Politik

Blog Pelbagai

Komen Terbaru Kengkawan

Get Recent Comments Widget

Dari Portal Berita

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Ruang Iklan Untuk disewa!
1. 100px x 100px = RM10 sebulan/RM60 setahun
2. 200px x 100px = RM20 sebulan/RM120 setahun
3. 200px x 200px = RM30 sebulan/RM180 setahun