Mengapa sistem ini digunakan?
Ramai yang memikirkan bahawa sistem ini mampu membanteras gejala rasuah seperti pembelian undi atau pengundi hantu kerana kaitan yang bertanding dengan yang mengundi terlalu jauh. Di samping itu, jumlah pengundi yang banyak juga dikatakan menyukarkan mereka yang bertanding untuk mengeluarkan modal. Benarkah?
Parti Keadilan Rakyat mungkin satu-satunya pertubuhan politik yang mengamalkannya sekarang tetapi bukan pertubuhan yang pertama (kalau tak silap aku MIC pernah mengamalkannya sebelum ditukar kepada pengundian perwakilan). Bagi aku yang pernah bergiat dengan Kesatuan Sekerja dan menggunakan sistem Satu Ahli Satu Undi sejak berpuluh tahun telah melalui pahit manisnya. Kalau dikatakan rasuah, apa saja sistem yang digunakan masih boleh disalahgunakan dengan rasuah. Ianya tidak mustahil!
Apa yang diperlukan untuk sistem ini?
- Sistem pengundian yang teratur. Sekiranya jumlah yang mengundi kurang daripada 50% ahli sesuatu cawangan bermakna keputusan cawangan tersebut terbatal kerana ianya tidak mencerminkan mandat sebenar.
- Kertas-kertas undi yang bernombor siri dengan ciri keselamatan yang tidak boleh ditiru. Adalah lebih baik sekiranya pengendalian kertas-kertas undi ini dilakukan oleh satu badan di luar pertubuhan seperti firma-firma juruaudit bebas.
- Keselamatan dan kesahihan keputusan undi selepas pengiraan juga perlu diambil kira. Kertas undi yang dikira perlu disaksikan oleh wakil mereka yang bertanding. Keputusannya juga perlu disahkan oleh setiap wakil tersebut dengan menandatangani borang khas keputusan undi dan menyimpan satu salinan setiap seorang.
Untuk mengundi, kita perlukan pengundi. Sedangkan mesyuarat agung sesuatu cawangan/ranting/cabang itu sendiri menghadapi masaalah kehadiran, bagaimana pula dengan pengundian? Mungkin sistem pencalonan perlu diubah supaya tidak perlu dilakukan mesyuarat dua kali iaitu mesyuarat pencalonan dan hari mengundi yang berasingan. Dan berbalik kita semula kepada persoalan berapa ramaikah ahli yang akan datang pada mesyuarat tersebut?
Di dalam Kesatuan Sekerja sistem ini tidak menghadapi banyak masaalah dari segi kehadiran pengundi kerana pengundian dijalankan di tempat-tempat kerja yang mampu mengumpulkan antara 90% hingga 100% pengundi. Di dalam pertubuhan-pertubuhan sosial seperti politik dan NGO pula ahlinya bertaburan malah ada yang menetap di luar kawasan. Bukankah ini lebih menyulitkan ahli-ahli itu sendiri? Ini tidak termasuk dengan ahli yang tidak berminat untuk bergiat tetapi hanya mendaftar sebagai ahli atas sebab-sebab tersendiri. Apakah sistem proksi pula diperlukan di sini? Sekiranya dibenarkan sistem proksi maka lebih mudahlah proksi itu dibeli. Undi hantu juga mudah berlaku.
Membanteras rasuah? Pemimpin-pemimpin cawangan masih boleh dirasuah untuk mempengaruhi pengundi samada secara baik ataupun secara ugutan (by hook or by crook). Calon-calon juga boleh menabur janji untuk sesuatu cawangan dengan pakej-pakej menarik. Selagi ada penerima rasuah selagi itulah akan berlaku rasuah seperti slogan orang-orang lama "bagi salah tak bagi kalah." Jadi, sejauh manakah usaha untuk mendidik ahli membezakan antara kepentingan, keuntungan dan kebertanggungjawaban di dalam pertubuhan?
Sistem Undi Perwakilan
Sistem ini dilihat lebih sesuai (practical) dan mudah digunapakai oleh pertubuhan-pertubuhan di Malaysia yang mempunyai banyak cawangan walaupun ianya bukan sistem yang terbaik. Ini kerana ahli-ahli hanya perlu melantik perwakilan yang dirasakan mampu membuat pilihan bagi pihak mereka dalam memilih pemimpin yang lebih tinggi. Ini bermakna ahli hanya perlu melantik seseorang yang mereka anggap bijak (wise) dalam membuat pilihan demi menjaga kebajikan mereka. Mereka seharusnya lebih kenal dengan wakil mereka berbanding dengan pemimpin yang lebih tinggi. Sekiranya memilih berdasarkan hubungan persahabatan atau kerana dirasuah maka itu adalah salah mereka sendiri.
Mesyuarat agung, pencalonan dan pemilihan calon perwakilan boleh dilakukan serentak dan memudahkan ahli untuk melaksanakan tanggungjawab mereka (walaupun masih ramai yang menyalak di luar tetapi tidak hadir mesyuarat). Untuk memastikan mesyuarat tersebut sah dan mencukupi korum, adalah menjadi tanggungjawab AJK cawangan/ranting/cabang tersebut mengusahakannya. Ada juga cawangan-cawangan yang melakukan beberapa program khas untuk menarik kedatangan ahli seperti Cabutan Nombor Bertuah, pemberian bantuan, sijil dan sebagainya. (rasuah juga mungkin berlaku di sini)
Sebaik-baiknya pengundian tidak dilakukan secara sulit melalui kertas undi untuk mengelakkan lebih banyak berlaku hipokrasi. Ada yang beria-ia mengaku sokong tetapi mengundi orang lain dalam kertas undi. Kerana itu kebanyakkan pertubuhan menggunakan undi angkat tangan di peringkat cawangan/ranting/cabang untuk mengelakkan berlakunya hipokrasi tadi. Selain itu sistem ini mampu mengelakkan undi hantu di mana kertas undi yang dipangkah oleh orang lain sedangkan pengundi tersebut sedang nazak di hospital. Ianya juga menjadi iktibar kepada calon-calon siapa sebenar kawan dan siapa sebenarnya kaki kipas.
Seperti sistem Satu Ahli Satu Undi di mana pemimpin cawangan/ranting/cabang mungkin dirasuah, sistem Undi Perwakilan ini juga tidak terlepas dari gejala tersebut. Namun, amat mudah untuk mengesan siapa yang menerima rasuah diperingkat ini. Sekiranya ahli masih lagi mahu ini menjadi wakil mereka di masa akan datang maka LU JAWABLAH SENDIRI!
6 comments:
salam,
orang kita bila masuk sesuatu pertubuhan, mereka kebanyakkannya tidak jelas tentang perlembagaan pertubuhan yang disertai.
Bro,
Kalau dah mabuk nak kekalkan atau nak mendapatkan kuasa, buatlah macam-macam cara undi pun, org mabuk tetap mabuk.
Sepatutnya org mabuk terus diikat dan ditidurkan sehingga hilang mabuknya.
salam.. jom mengundi..
salam bro, kesannya bila semua menjadi pemilih, maknanya mereka ada kelompok juga. Parti buruk buat apa pun, hasilnya tetap sama.
Salam,
Menarik.
Tapi kalau dah gila kuasa, buat perangai lama. buatlah sistem apa pun akhirnya bertumbuk, baling kerusi dan merajuk juga....
Gerakan Timur
W'salam. Memang menyedihkan kerana kebanyakan mereka menjadi ahli hanya ikut-ikutan akhirnya menjadi kuda tunggangan. Berapa ramai yang diberikan Perlembagaan Pertubuhan dan sebarang pindaan?
Kenn
Dari pengalaman aku menguruskan orang mabuk ni celop-benam jer dalam air sampai dia muntah. Lembeklah lepas tu. hehehe
Nur Misnan
Kau orang PKR ker? Selamat ngundi dan berjaya dengan pilihan anda. kah kah kah
Apai Ngelai
Sebenarnya dalam apa sistem pun semuanya adalah pemilih dan kelompok tetap ada. Cuma adakah kelompok yang menjadi majoriti itu mendatangkan munafaat atau mudharat. Jangan kerana fanatik kita menyertai sesuatu kumpulan tanpa membuat cubaan pembaharuan.
Junah
Aku setuju dengan ko. Setiap ahli sesuatu pertubuhan itu sepatutnya ubah perangai dan CUBA ubah perangai yang lain. Tapi kerana sifat fanatik dan merasakan diri sendiri saja yang betul yang menyebabkan gila kuasa, gila pengaruh, gila populariti dan gila BABI. hihihihi
Post a Comment