Kumpulan Entri-Entri Menarik





Daftar Pengikut Blog Ini!

Sunday, April 18, 2010

Ulasan tajuk Di mana Bumi Di Pijak


Lanjutan dari laman Satu Sekolah Untuk Semua

Asalamualaikum kepada pengulas-pengulas yang berwibawa di sini,

Aku ni hanya seorang tua berpelajaran menengah sekolah kampung tahun 70an. Jadi, aku hanya nak ulas berdasarkan pengalaman, bukannya secara ilmuan kerana aku sedar di mana taraf aku di sini. Olih itu, tiada rujukan kepada mana-mana makalah untuk kesahihannya.

Sememangnya topik ini menarik dan aku amat menghargai usaha SSS dan menyokongnya 100%.

Sebenarnya kempen seperti ini telah bermula sejak tahun 60an lagi. Contoh paling mudah ialah di dalam lagu Malaysia Berjaya dan betapa kuatnya kempen ketika itu:

**MALAYSIA BERJAYA**

Malaysia kita sudah berjaya,
Aman makmur bahagia
Malaysia abadi selamanya, <-
Berjaya dan berjaya!

Berbagai kaum sudah berikrar <-
Menjunjung cita-cita <-
Satu bangsa satu negara <-
Malaysia berjaya!

Dari Perlis sampailah ke Sabah <-
Kita sudah merdeka
Negara makmur rakyat mewah <-
Kita sudah berjaya!

Dengar semboyan kita berjaya
Gemuruh di angkasa
Satu bangsa satu bahasa <-
Malaysia berjaya!

Jika dilihat dari senikata lagu di atas, terdapat dua perkataan menarik iaitu BANGSA dan KAUM. Kaum merujuk kepada kumpulan etnik dan bangsa meliputi setiap rakyat. Tetapi, setelah berlaku pertelingkahan pada tahun 70an, perkataan KAUM telah menjadi momokan sehingga ianya menjadi begitu sensitif apabila disebut terutama perkataan PERKAUMAN. Maka, kita mula dirujuk sebagai Orang Melayu, Orang India, Orang Cina, Orang Iban. Rujukan ini juga boleh digunakan untuk Orang Utan (bukan Kaum Utan) dan Orang Gila (bukan Kaum Gila). Lihatlah betapa peralihan itu tanpa disedari membawa kita ke tahap yang lebih rendah sedangkan perkataan KAUM itu sendiri memberi makna satu entiti yang ISTIMEWA. Dan kita masih berbangga untuk dirujuk sebagai ORANG MALAYSIA, bukannya BANGSA MALAYSIA!

Bagi mereka yang celik mata dari lahir memandang lampu neon mungkin tidak mengalami apa yang kami rasakan belajar dengan lampu pelita minyak tanah sehingga tingkatan tiga. Bagi mereka yang bersantai di tengah jalan pada malam hari mungkin tidak merasakan betapa kami mengibas andang kelapa kering ketika berjalan.

Di Lenggeng, kami tak bercakap pada Ah Kow "Apek! Apa pasat lu tatak niaga ini hali? Lu sakit ka?" tetapi kami bercakap begini "Akau! Kenapo lak ekau tak niago ari ni? Domam ko?" Dan dia akan menjawab, "Tak do lah. Eden ko sekolah pagi tadi. Jumpo cikgu bosa."

Sudah terlalu banyak pengorbanan kita di dalam memartabatkan negara ini. Dari Semenanjung Keemasan kepada Semenanjung Tanah Melayu kemudian ke Persekutuan Tanah Melayu lalu beralih kepada Malaya dan akhirnya menjadi MALAYSIA.

Aku sendiri sudah keliru kerana mulanya aku belajar Bahasa Melayu yang ditukar kepada Bahasa Kebangsaan lalu beralih kepada Bahasa Nasional lalu menjadi Bahasa Malaysia dan akhirnya kembali kepada Bahasa Melayu. Siapa yang lebih menanggung azab? Siapa yang lebih terpilu dengan cemuhan kaum lain terhadap ketidakpastian ini?

Lihatlah betapa bertolak ansurnya kaum Melayu untuk mencari kedamaian sejagat tetapi ada yang cuba menjadi juara untuk kaum lain sedangkan selepas merdeka, perjuangan BANGSA adalah lebih utama daripada perjuangan KAUM dan bahasa Melayu mampu melakukannya.

Kita bukan seperti INDONESIA yang mampu menJAWAkan rakyat mereka di zaman Presiden Sukarno. Di zaman NASA dan KOM yang kemudiannya menjadi NASAKOM. Kita perlu bertoleransi bukannya tanpa kompromi.

Di tahun-tahun 60an/70an terdapat usaha-usaha meNUSANTARAkan Bahasa Melayu tetapi sehingga hari ini ianya masih lagi diperingkat pertikaian. Ada di kalangan cerdik pandai yang menjadi gusar kerana kalau berdasarkan penggunaan, Bahasa Melayu Malaysia akan ditelan oleh Bahasa Melayu Indonesia berdasarkan jumlah penduduknya. Sekiranya Bahasa Melayu sendiri tidak digunapakai di sini, bagaimana kita mampu memperkasakan diri untuk berkompromi dengan Bahasa Melayu Indonesia? Sedangkan Kaum Melayu sendiri terseliuh lidah berbahasa ibunda berbanding semburan airludah ketika berbahasa OMPUTEH?

Penyatuan Bahasa Melayu NUSANTARA masih boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat. Sekiranya 30 tahun dahulu beberapa perkataan di dalam kamus dapat diselarikan maknanya, sekarang jarak perbedaan akan menjadi lebih tirus.

Mulakan dengan perkataan-perkataan sensitif seperti carutan di satu pihak tetapi bukan di satu pihak yang lain dapat diterima sebagai satu perkataan carutan atau dibuang terus dari kamus, generasi akan datang akan lebih selesa berhubungan.

Contoh perkataan:
p*nt**t -> Indonesia -> punggung
p*nt**t -> Malaysia -> kemaluan wanita

p*kik -> Bahasa Etnik Jawa -> Kemaluan wanita
p*kik -> Malaysia -> jerit

salamat -> Filipina -> salam
selamat -> Malaysia -> alu-aluan

Kemudian, perkataan-perkataan yang diimpot dari bahasa lain digantikan dengan perkataan yang ada dalam salah satu kamus Bahasa Melayu Malaysia, Indonesia, Filipina dan lain-lain. Ini juga dapat membantu memperkasakan Bahasa Melayu seluruh dunia dan menjadikan kaum-kaum lain tertarik untuk menggunakannya.

Sekolah Jenis Kebangsaan di zaman aku begitu terhad kerana taburan penduduk kaum lain. Di sekolah Kebangsaan di adakah kelas-kelas khas untuk kaum lain supaya mereka tidak lupa kepada budaya dan asal usul mereka sendiri. Dan pergaulan kami tidak terhad kepada satu kaum sahaja. Kerana itu, penggunaan Bahasa Melayu begitu meluas ketika itu di antara kaum.

Di zaman aku hanya terdapat beberapa IPTA seperti UM, UKM, UPM dan UTM. Tiada IPTS ketika itu. IPTA-IPTA mempunyai sukatan pelajaran yang banyak mempengaruhi pelajar dengan budaya Malaysia. Aku tak tahu apa yang dibuat oleh IPTS atau mungkin hanya untuk mendapat Ijazah sahaja.

Oleh itu, selain dari pada memperkasakan BAHASA MELAYU di MALAYSIA dengan kempen Satu Sekolah Untuk Semua, usaha berterusan perlu juga dibuat untuk memperkasa BAHASA MELAYU SEJAGAT. Dengan cara ini dapat membantu mengINTERGRASIkan kaum malahan rakyat dari pelbagai negara. InsyaAllah!

Maaf dari orangtua nyanyok yang sudah tertinggal LRT sekiranya ada kata-kata yang menyinggung di sini. Kepada anak-anak muda, teruskan perjuangan anda dan aku akan memberikan sokongan yang termampu.

Tahniah sekali lagi kepada Admin SSS!

No comments:

Klik Penaja Saya

Sokong Penaja Saya Di Bawah INI!
widgeo.net

Saje-saje

Blog Bukan Politik

Blog Pelbagai

Komen Terbaru Kengkawan

Get Recent Comments Widget

Dari Portal Berita

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Ruang Iklan Untuk disewa!
1. 100px x 100px = RM10 sebulan/RM60 setahun
2. 200px x 100px = RM20 sebulan/RM120 setahun
3. 200px x 200px = RM30 sebulan/RM180 setahun